Malaysia jatuh enam tangga ranking FIFA


KUALA LUMPUR - Ketiadaan perlawanan persahabatan berkelas A sepanjang Mac lalu jelas memberikan kesan negatif kepada skuad bola sepak kebangsaan dalam ranking terbaru yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), kelmarin.
Berdasarkan semakan, Malaysia yang berada di tangga ke-138 pada 9 Mac lalu sekadar berada di tempat ke-144 pada kali ini, menandakan kemerosotan enam anak tangga dan itu merupakan kali pertama ranking Harimau Malaya mengalami kejatuhan semenjak November tahun lalu.
Malahan, di kalangan negara Asia, Malaysia juga mengalami kejatuhan tiga anak tangga apabila berada di tangga ke-24 berbanding ke-21 pada bulan lepas sementara bagi rantau Asia Tenggara, skuad negara masih kekal di belakang Thailand, Indonesia dan Vietnam.
Walaupun begitu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin menegaskan kedudukan ranking itu tidak melambangkan apa-apa pada prestasi terkini negara.
"Dari segi ranking FIFA, mungkin kita jatuh kerana tidak dapat bermain sebarang perlawanan persahabatan berkelas A namun bagi saya itu bukan keutamaan.
"Kita sendiri boleh perhatikan, semenjak kita menjuarai Piala Suzuki AFF lalu, prestasi kita masih konsisten dan tidak pernah kalah dalam dua perlawanan persahabatan terakhir lalu.
"Apa yang lebih mustahak dalam masa terdekat ini ialah jurulatih dan pemain mengekalkan prestasi positif menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2014," katanya.
Aksi persahabatan Malaysia bertemu Etoile FC yang menyaksikan Harimau Malaya seri 1-1 pada 26 Mac lalu di Stadium Jalan Besar, tidak mendapat sebarang pengiktirafan daripada FIFA kerana ia bukan membabitkan perlawanan antara skuad negara berkelas A.
Sebagai rekod, pencapaian tertinggi Malaysia di dalam ranking FIFA ialah mendapat tempat ke-75 pada bulan Ogos 1993 dan kedudukan terendah ialah berada di tempat ke-170 pada April 2008.

Info: Utusan Online

P/S : Kalau ranking rendah sape nak layan lu friendly kelas A pak midin oi!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Earn Money With Your Website